Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer telah diberikan tanggungjawab sebagai pengurus secara sepenuh masa.

Kontrak tiga tahun

Bekas pemain Red Devils itu telah diberikan kontrak selama tiga tahun. Solskjaer sebelum ini bersama Red Devils selaku pemain kira-kira 11 musim.

Namanya dijulang tatkala menjadi penjaring gol kemenangan dalam perlawanan Liga Juara Juara Eropah 1999. Pada ketika itu, Manchester United menewaskan Bayern Munich.

Dalam kenyataan media dikeluarkan kelab, Ed Woodward memberitahu sejak kehadiran Solskjaer pada Disember telah memanfaatkan pengalaman sebagai pemain dan jurulatih kepada pasukan bimbingannya.

Pengurus itu juga telah memberikan peluang kepada pemain muda beraksi di Old Trafford serta memahami budaya kelab terkenal dunia itu.

Fantastik

Solskjaer mengakui bahawa beliau telah melalui masa yang fantastik sejak menjadi pengurus sementara Manchester United. Beliau menambah sejak ketibaan pada hari pertamanya di kelab itu selaku pengurus sementara seolah berasa di rumah sendiri.

Solskjaer pada sebelum ini dilantik Manchester United sebagai pengurus sementara selepas pemecatan Jose Mourinho.

Daripada 19 perlawanan yang dikendalikannya, Solksjaer telah memenangi 14 perlawanan. Beliau juga berjaya membantu Red Devils mencabar slot 4 teratas dalam Liga Perdana Inggeris.

Selain itu, kelab itu juga berjaya menempatkan diri dalam kancah suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Masa depan United?

Dikhabarkan pembantu Solksjaer, Mike Phelan masih terikat dengan kontrak dengan sebuah kelab di Australia. Namun ada kemungkinan Phelan akan kekal di Old Trafford.

Namun ada persoalan untuk peminat United, adakah pemilihan Solksjaer ini tepat? Adakah beliau mampu membawa kejayaan seperti dilalui Sir Alex Ferguson?


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here