Aku terbaca cerita ni dalam cerita Fisyen Shasha. Aku rasa korang pun macam aku masioh mempersoalkan kewujudan naga itu adakah ianya sekadar mitos. Kalau mitos kepada sampai sekarang cerita naga ni timbul dan ramai pernah nampak naga. Setelah aku baca habis cerita di FS ni baru aku terbuka hati dan celik sikit pasal naga. Korang bacalah sendiri.

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh & Salam Sejahtera. Bersyukur ke hadrat ilahi kerana aku masih lagi diberi peluang untuk berkongsi ilmu bersama pembaca-pembaca kisah seram di page Fiksyen Shasha ini. Apabila aku bercerita, semuanya adalah berkisarkan daripada kisah pengalamanku sendiri. Aku tidak dibayar jauh lagi dipaksa untuk menulis di sini.

Apa yang aku lakukan adalah semata-mata untuk berkongsi ilmu dan menceritakan kembali pengalaman dan kisah-kisah mengenai Mereka yang berada di alam sana.

Kisah yang akan aku sampaikan pada kali ini adalah mengenai sejenis makhluk yang seringkali dipersoalkan tentang kewujudannya sehingga ke hari ini iaitu NAGA. Adakah ianya adalah sebuah mitos dongengan semata-mata ataupun ia sememangnya wujud? Aku akan membongkar kisah sebenar mengenai mereka di sini. Seperti biasa aku mulakan dahulu penceritaan ini dengan kalimah agung lagi suci Bismillahirrahmanirrahim.

ASAL KEJADIAN
Ramai yang mengganggap bahawa naga adalah seekor makhluk dongeng yang hanya wujud di dalam buku cerita dan filem semata-mata. Terlalu banyak kisah misteri yang dikaitkan dengan kehidupan mereka. Setiap bangsa di dunia ini mempunyai pendapat dan cerita tersendiri mengenainya. Golongan intelektual dari barat pula pernah menyatakan bahawa naga adalah salah satu daripada spesies dinosaur yang telah pupus sejak jutaan tahun lamanya disebabkan oleh hentaman meteorit ketika itu.

Aku bukanlah hendak menidakkan kenyataan mereka tetapi daripada pengalamanku sendiri naga bukanlah sejenis haiwan yang wujud di alam nyata, mereka hanya wujud di alam ghaib. Asal usul kejadian mereka adalah hasil daripada percampuran genetik jin darat, jin udara, dan jin laut.

Jin daripada baka campuran tersebut aku gelarkannya sebagai jin hybrid ataupun jin kacukan. Mereka mempunyai tenaga serta kekuatan yang luar biasa dan tergolong sebagai jin kelas atasan yang setaraf dengan bangsa jin Ifrit. Mereka juga mempunyai puak-puak dan kumpulan yang tersendiri. Kebanyakan daripada mereka adalah kafir dan jumlah yang beragama Islam adalah teramat kecil.

Mereka adalah evolusi perubahan fizikal yang terhasil daripada percantuman genetik di antara jin darat yang berbentuk ular/biawak, jin udara yang berbentuk burung/kelawar, dan sejenis jin laut yang tinggal di laut dalam iaitu iaitu pari-pari gergasi.

Disebabkan oleh kombinasi 3 gabungan genetik tersebut, mereka boleh hidup di 3 tempat yang berbeza tanpa sebarang masalah iaitu di dalam air, di darat, dan juga di udara. Mereka boleh mengecilkan diri kepada saiz seekor serangga dan membesarkan diri mereka seperti saiz sebuah bukit dalam masa yang singkat sahaja.

Kisah mengenai kewujudan mereka telah menjadi sebuah perdebatan umum yang berlarutan semenjak berkurun lamanya. Ada yang tinggal di dalam lautan, sungai, serta tasik dan ada juga yang tinggal di dalam gua, hutan belantara yang tebal, di puncak bukit dan di atas udara. Mereka bukanlah sejenis makhluk yang jenis membabi buta menjelma di alam nyata tetapi hanya akan muncul sekiranya diseru dengan doa ataupun mantera tertentu/muncul untuk membalas dendam/ dan sengaja muncul untuk menunjukkan kehebatannya kepada kita semua.

Rupabentuk mereka adalah hampir sama seperti yang kita semua saksikan di dalam gambar dan lukisan sebelum ini. Setakat ini hanya 3 jenis naga sahaja yang aku pernah saksikan di depan mata iaitu:

  1. Naga Darat (Wujud di dalam hutan tebal, gua, serta di atas bukit dan kawasan yang berbatu batan).
  2. Naga Purba (Wujud di semua tempat di bumi ini samada di dalam tanah, atas tanah, dalam laut/sungai/tasik, di atas bukit/gunung, dan juga di atas langit).
  3. Naga Air (Hanya wujud di dalam laut, sungai, dan tasik).

Walaupun Naga Darat dan Naga Air tinggal di kawasan seperti yang dinyatakan di atas, mereka juga mampu untuk hidup di semua tempat di pelosok bumi ini kerana mereka tidak tertakhluk kepada had keupayaan seperti jin-jin lain. Mereka mendiami kawasan itu kerana telah mengadaptasi kehidupan di tempat itu sejak berkurun lamanya.

Naga Darat
Naga jenis ini adalah berlainan daripada bentuk fizikal naga yang lain. Bentuk badan mereka adalah seperti manusia biasa, boleh terbang, dan menggunakan kaki untuk berjalan. Berketinggian 9-10 kaki, mempunyai sepasang kepak bersisik besi di belakang badan, sepasang tangan dan juga sepasang kaki.

Kepala mereka berbentuk seperti kepala seekor Iguana, kulitnya adalah bersisik besi berwarna hitam, bergigi taring, mempunyai 2 tanduk panjang, dan bermata bulat berwarna hitam. Lazimnya mereka hidup di dalam sebuah kumpulan kecil yang berjumlah diantara 5-8 ekor sahaja.

Mereka bersifat agresif, emosional tidak bertempat, dan panas baran. Salah satu daripada sebab mengapa kadang-kadang hutan ataupun pokok tiba-tiba sahaja berasap dan terbakar adalah disebabkan oleh mereka. Penempatan mereka mungkin telah diceroboh ataupun diganggu oleh manusia maka atas sebab itu mereka bertindak balas dengan membakar tempat tersebut.

Ada juga kes yang lebih teruk di mana mereka akan mengikut seseorang itu sehingga ke rumahnya lalu membakar kelengkapan dan peralatan di dalam rumah tersebut sedikit demi sedikit sehingga mereka berpuas hati. Mereka akan mendiami rumah tersebut selagi dendam mereka tidak terlunas.

Mereka hanya akan menampakkan diri mereka apabila terasa diancam ataupun ketika mencari sumber makanan. Sekiranya korang berjalan di dalam hutan tebal dan tiba-tiba ternampak seperti sekumpulan orang/manusia di dalam keadaan berkilat seperti besi dan bercakap dalam bahasa yang pelik jangan tegur, jangan renung, dan berlagak seperti biasa sahaja kerana mereka mungkin sedang mencari makanan ataupun sedang memburu sesuatu.

Apabila aku sudah berpesan begitu maka ikuti sahaja arahan tersebut kerana mereka sangat agresif dan boleh memberi ancaman kepada diri korang semua. Jangan sesekali memandai-mandai mengambil gambar ataupun beramah mesra dengan mereka semua. Banyakkan membaca ayat 1,000 dinar dan memohon perlindungan daripada Allah Taala kerana mereka adalah golongan jin hybrid yang kekuatannya adalah berganda berbanding dengan makhluk halus lain yang kebanyakannya berasal dari sejenis golongan sahaja.

Naga Purba
Naga purba pula adalah seekor naga yang tertua di dalam kalangan jin hybrid yang berbentuk naga. Usia mereka sangat panjang sehinggakan ada yang telah mencecah ribuan tahun usianya. Secara fizikalnya mereka berbentuk seperti seekor biawak yang sangat besar tetapi mempunyai sayap dan bertanduk 2.

Mereka digeruni oleh semua jenis naga dan jin lain kerana kehebatan, kekuatan, dan kelincahan yang luar biasa. Mereka jarang muncul secara nyata kecuali telah diseru oleh seseorang yang mahir di dalam ilmu kebatinan seperti bomoh dan pawang profesional.

Pada zaman dahulu, terdapat sesetengah manusia yang pernah membuat perjanjian dengannya untuk kekebalan serta kekuatan diri, menjaga harta benda, dan menjaga ahli keluarga mereka lalu perjanjian tersebut telah terikat mati sesama mereka sehingga ke hari kiamat. Akibat daripada perjanjian tersebut wujudlah sejenis saka iaitu saka naga yang akan mengikut dan menjaga keturunan pemiliknya sehingga ke hari kiamat kelak.

Saka naga adalah sejenis saka yang berada dalam profil tinggi dan tidak ramai orang yang mampu untuk membelanya kerana terlalu banyak pantang larang dan syarat yang harus diikuti oleh pemiliknya. Saka naga boleh diibaratkan seperti sejenis saka yang sangat jarang dimiliki dan ianya hampir pupus berikutan tidak ramai bomoh ataupun pawang yang mempunyai ilmu di dalam mengendalikan saka tersebut.

Naga purba juga boleh merasuk manusia. Aku teringat pada kisah yang pernah diceritakan oleh seorang sahabatku yang bertugas sebagai kurator muzium dahulu, dia menyatakan pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu dahulu, terdapat beberapa orang pegawai tinggi mereka telah mencuri dan menyeludup keluar senjata-senjata lama dan sejumlah besar kitab penting tentang ilmu persilatan, ilmu senjata & perang, ilmu pendinding, ilmu ghaib & mistik melayu, serta ilmu memanggil segala jenis makhluk ghaib yang wujud di alam sana termasuklah ilmu memanggil Naga.

Korang bayangkan harta warisan milik nenek moyang kita yang paling bernilai kini berada di dalam bilik kebal di dalam arkib Vatican City dan arkib England. Ia hanya boleh diakses oleh orang-orang tertentu sahaja seperti para menteri ataupun raja-raja. Apa yang tinggal sekarang hanyalah mukadimah daripada ilmu-ilmu tersebut.

Naga Air
Bentuk naga air adalah sama seperti gambaran naga yang kita selalu lihat menerusi gambar, lukisan, ataupun di dalam filem itu. Mereka tinggal jauh di dalam laut, sungai, dan tasik. Kadangkala mereka akan menjelma menunjukkan diri mereka di depan manusia supaya manusia tersebut berasa takjub dan untuk memberi peringatan bahawa kawasan tersebut adalah di bawah naungan kuasanya.

Contoh yang boleh aku berikan adalah naga di Tasik Chini dan Tasik Bera. Sesetengah manusia dapat melihat dengan jelas rupa dan bentuk keadaan mereka itu manakala yang lain mungkin belum berpeluang untuk menyaksikannya. Kehadiran mereka dapat dirasai apabila permukaan air laut/sungai/tasik berkocak dengan kuat, bunyi seperti ular sedang berdesir, bau hanyir ikan yang kuat, serta kemunculan angin yang bertiup dengan kuat di kawasan tersebut.

Apabila ia muncul secara fizikal, korang akan nampak seperti seekor ular sawa/boa/anaconda yang sangat panjang dan besar sedang berlingkar-lingkar di atas air ataupun berterbangan sambil menghembuskan api di kawasan itu. Warna sisik mereka adalah hijau pekat ataupun hitam pekat.

Mempunyai 2 tanduk, bersesungut panjang seperti sesungut ikan keli, mempunyai 8 atau 12 kaki, berkepala seperti seekor kelawar tetapi tidak mempunyai sayap. Ada juga yang mempunyai 2 kepala dan 3 kepala. Mereka tinggal secara bersendirian di habitat tersebut. Seperti yang sudah diketahui ramai, jin yang asalnya daripada bangsa jin air adalah jin yang bersifat ganas dan kuat apatah lagi jin hybrid seperti naga ini.

Masyarakat begitu taksub untuk melihat kemunculan mereka tetapi ketahuilah bahawa mereka bukanlah seperti naga yang diceritakan di dalam buku dongeng itu. Mereka boleh menculik manusia dan membawanya ke alam mereka dan besar kemungkinan boleh mengancam nyawa manusia tersebut.

Hembusan api mereka sahaja sudah cukup berbisa dan boleh mendatangkan kerosakan kepada ekosistem alam dan diri kita sendiri. Sifat nakal mereka ketika menyakat manusia kadangkala sama seperti hantu air. Walaubagaimanapun mereka tidaklah sekejam hantu air kerana mereka tidak akan meragut nyawa seseorang manusia itu tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Mereka hanya akan bertindak apabila manusia itu telah telah mencederakannya secara sengaja ataupun tidak sengaja. Ada dikalangan mereka yang dijadikan saka dan mereka juga boleh merasuk jasad manusia sama seperti naga purba.

TAWA MENJADI DUKA

Salah satu daripada hobiku yang tegar adalah memancing. Beberapa tahun yang lepas aku dan rakan-rakanku pernah menyewa bot untuk memancing di tengah lautan pulau Redang.

Kami pergi berkumpulan seramai 9 orang termasuk tekong bot. Aku ditemani oleh Wawa, dan Azmir (Azmir hantu askar Jepun). Di dalam kumpulan tersebut terdapat seorang bekas timbalan ketua polis negara yang berpangkat Tan Sri (nama dirahsiakan) yang turut sama bersama kami ketika itu. Ilmu pengetahuan dan pengalamannya cukup luas serta tinggi. Dia juga berkebolehan untuk mengurut dan mengubati pesakit yang diganggu oleh makhluk halus.

Dari awal perjalanan lagi dia sudah berpesan kepada kami supaya perbanyakkan zikir, selawat, dan kurangkan ketawa supaya rezeki dapat masuk dengan mudah. Ketika itu kami tidak tahu siapakah dirinya yang sebenarnya dan dia hanya menyuruh kami memanggilnya pakcik Bob (mungkin sebab dia gemuk).

Kami tiba di lokasi yang ditetapkan pada jam 8 malam. Bot melabuhkan sauhnya betul-betul di kawasan lubuk ikan kerapu bermaharajalela. Kelihatan kesemua pemancing sudah mula mengambil tempat untuk menunjukkan kehebatan masing-masing.

Aku, Wawa, dan Azmir memancing bersama di sisi kiri bot manakala pemancing lain pula berada di sisi kanan bot itu. Suasana malam agak cerah ketika itu akibat disinari oleh cahaya bulan yang sedang mengambang. Joran Azmir mula disentap, dia berjaya menaikkan seekor ikan merah yang bersaiz sederhana. Joran Wawa pula menyusul dengan seekor ikan bawal putih yang agak besar.

Aku pula masih terkiai-kiai menantikan hasil yang tak kunjung tiba. Perasaanku semakin tergugat apabila mereka sekali lagi berjaya menaikkan tangkapan lain bagi pusingan kedua. Akibat terlalu bosan menunggu, aku mengambil keputusan untuk bertukar tempat dan menyertai pemancing-pemancing lain yang berada di sisi kanan bot itu.

Pemancing-pemancing lain berjaya menaikkan ikan pari, ikan bawal, ikan merah, ikan gemuduk, dan ikan kerapu. Hanya aku seorang sahaja yang masih belum berjaya mendapat sebarang tangkapan dan ketika itu semangatku sudah pudar sepudar-pudarnya. Aku berehat untuk seketika untuk menenangkan jiwaku yang sedang kusut ketika itu. Aku berjalan mundar mandir tanpa tujuan di setiap ceruk bot itu sambil menikmati angin bayu malam yang agak dingin itu.

Sedang aku mengelamun bersendirian, tiba-tiba terdengar jeritan daripada beberapa pemancing lain yang mengatakan ada seorang pemuda telah jatuh rebah secara tiba-tiba ketika meminum air di situ. Abang Komeng iaitu tekong bot tersebut berlari menuju ke arah pemuda tersebut sambil membawa sebesen kecil air kosong di tangannya.

Pada fikiranku mungkin pemuda itu agak keletihan ditambah pula dengan kedinginan malam itu yang meresap masuk sehingga ke tulang hitam. Kelihatan pakcik Bob cuba meleraikan suasana yang kelam kabut itu dengan memberi arahan supaya memberikan ruang kepada pemuda tersebut untuk bernafas.

Pakcik Bob dan abang Komeng beberapa kali memberikan rawatan kecemasan CPR kepadanya. Hampir setengah jam kemudian pakcik Bob mengisytiharkan bahawa pemuda tersebut sudah meninggal dunia akibat serangan jantung. Kami semua terkejut.

Rakan baik arwah memaklumkan bahawa pada sebelah petangnya arwah mengadu sakit dada dan arwah hanya menyapu minyak gamat dan mengurut-urut dadanya ketika itu. Dia tidak menyangkakan bahawa itu adalah petanda serangan jantung kerana arwah masih muda dan tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya. Sungguh tak disangka dan benarlah bahawa mati itu pasti dan janji Allah adalah benar belaka.

Dikala bergembira dikala itu juga duka mendatang. Tiada sesiapa yang mampu melawan takdir yang telah Allah tetapkan. Perancangan kami yang pada awalnya untuk bergembira menghilangkan tekanan kerja kini menjadi suram dan sedih akibat kematian mengejut pemuda itu. Abang Komeng terus memaklumkan pada stesen di darat dan unit marin tentang kejadian itu.

Perancangan untuk terus memancing terpaksa dibatalkan kerana bot terpaksa berpatah balik ke jeti bagi tujuan penghantaran jenazah pulang. Jenazah pemuda itu ditutup dengan kain pelikat dan diletakkan di bahagian belakang bot itu. Aku, Wawa, dan Azmir ditugaskan untuk menjaga jenazah tersebut sehingga selamat sampai ke darat nanti.

Malam Yang Panjang

Perjalanan pulang yang memakan masa hampir 3 jam amat membosankan dan dirasakan terlalu lama bagi kami bertiga. Jenazah pemuda tersebut yang terkujur kaku di depan kami cukup menginsafkan diri kami bertiga. Kami hanya mampu menyedekahkan surah-surah lazim yang bermain di kepala kami ketika itu.

Kepalaku beberapa kali tersengguk akibat mengantuk terlampau mengantuk. Kelihatan Azmir dan Wawa telah tewas dan tertidur beriringan di situ. Aku masuk ke dapur bot dan membancuh secawan kopi yang panas lagi pekat bagi tujuan menghilangkan rasa mengantuk yang sedang aku hadapi itu.

Aku kembali semula ke bahagian belakang bot dan ketika itu aku terkejut apabila ternampak 3 ekor makhluk berwarna hitam pekat sedang berkeliaran di sekeliling jenazah pemuda itu.

Badan mereka besar dan mereka seakan-akan ingin menerkam jenazah itu. Aku melaungkan kalimah Allahuakbar beberapa kali dan salah seekor daripada makhluk tersebut telah hilang berterbangan manakala 2 ekor lagi meluru menuju ke arahku, memegang dan menarik tanganku sambil berkata…”MATILAH KAU MATILAH KAU! KAWAN NAK NYAWA KAU!”

Muka mereka agak gelap, bermata merah, dan bergigi taring. Pada firasatku mereka mungkin salah satu daripada spesies Hantu Air. Mereka mendengus-dengus sambil menarikku sehingga ke penjuru bot itu. Aku cuba melawan tetapi tenaga mereka begitu kuat lalu aku laungkan lagi kalimah Allahuakbar berulang kali sambil menjerit meminta tolong.

Azmir dan Wawa memang betul-betul tidak boleh diharap, jeritan aku yang begitu kuat langsung tidak didengari oleh mereka. Aku meronta-ronta sambil beberapa kali menghentak kaki di lantai bot tetapi mereka berdua masih lagi nyenyak tidur dibuai mimpi.

Aku menarik nafas sedalamnya lalu dilepaskan dengan kalimah Allah Hu ke arah wajah 2 ekor makhluk tersebut dan usaha tersebut berkesan apabila tanganku terlepas daripada genggaman mereka. Aku berlari dan menjerit meminta pertolongan seperti orang gila, 2 ekor hantu air itu masih belum berputus asa. Mereka mengejar dan berjaya menyambar kakiku lalu aku tersembam jatuh seperti nangka busuk di sisi jenazah pemuda tersebut.

“TOLONG TOLONG! AZMIR!!!! WAWA!!!!” WOI MUSIBAT, BANGUNLAH SIAL!!!!” Sebuah jeritan yang sia-sia kerana mereka seperti berada di dalam keadaan koma. Mereka di dalam keadaan tidur mati yang seumpama sebuah kematian yang nyata.

Aku memaki hamun dan mencarut-carut kepada hantu-hantu air berkenaan.

“Sial, #$//#@@, anak gampang, lahanat, #$$//, babi! Korang nak apa????” Semua frasa makian terkeluar secara spontan dari mulutku.

Mereka terdiam untuk seketika. Aku beranggapan mungkin mereka akan beredar akibat dimaki sedemikian rupa tetapi ramalanku bercanggah apabila mereka bertindak dengan lebih kasar dan ganas daripada sebelumnya.

Mereka merentap bajuku, memegang tanganku, dan memelukku dengan kuat seolah-olah ingin merogolku. Salah seekor daripada hantu air tersebut menjilat-jilat mataku dengan rakusnya. Teknik pembunuhan yang digunakan oleh mereka kelihatan sama seperti teknik untuk merogol seorang wanita.

Bodoh sangat sekiranya aku menjadi mangsa rogol. Aku cuba menendang mereka tetapi kakiku terasa begitu berat sekali. Aku sudah kehilangan banyak tenaga dan aku hanya berserah pada Allah SWT. Seandainya begitulah cara kematianku aku redha seredha-redhanya. Sesungguhnya aku sudah tidak berdaya lagi. Apa yang terlafaz hanyalah kalimah Allah, Allah, Allah sahaja.

SANG SAKA NAGA AIR

Aku merasa seperti direnjis dengan air panas dan dalam masa yang sama kelihatan seekor ular besar sedang melingkari kawasan tersebut dan menuju ke arahku. Aku amati betul-betul wajah dan rupabentuk fizikal ular besar tersebut. Ianya bukan ular, ia adalah seekor NAGA! Aku yakin ia adalah naga kerana aku pernah menyaksikan rupabentuknya di dalam gambar dan di dalam filem dahulu.

Naga tersebut tiba-tiba mengapungkan dirinya lalu terbang meluru ke arah hantu-hantu air tersebut dan berulang kali memekikkan suaranya sambil menyebut Qufairo Qufairo, Sawf Tamut! Ana Qufairo! Aku tidak faham apa yang dipekikkan olehnya tetapi aku yakin bahawa ianya adalah bahasa Arab.

Pakcik Bob tiba-tiba muncul lalu merenjiskan air ke arah hantu-hantu air tersebut dan ketika itu terdengarlah sebuah jeritan yang kuat lagi dasyat. Jantungku hampir luruh, gegendang telinga seperti hendak pecah, dan bulu romaku naik menegang akibat jeritan tersebut.

Pakcik Bob pantas menarik tanganku dan ketika itu naga tersebut telah menghembuskan apinya ke arah hantu-hantu air tersebut. Api berwarna merah itu telah membakar hantu-hantu air itu. Mereka menggelupur kesakitan dan terlompat-lompat seperti beruk kepanasan lalu berterbangan meninggalkan bot itu dan hilang terus dari radar pandangan mata kami.

Pakcik bob kemudiannya menunjukkan isyarat tangan dan berinteraksi dengan naga itu di dalam bahasa Arab. Tak lama kemudian aku lihat naga itu terjun ke dalam laut dan hilang di dalam lautan itu. Aku tanyakan padanya tentang kejadian itu dan dia hanya mengatakan bahawa dia hanya menolong sekadar yang termampu.

Makhluk yang menggangguku itu disahkan sebagai hantu laut. Apa yang peliknya adalah Azmir dan Wawa masih nyenyak tidur walaupun bunyi jeritan hantu air itu begitu kuat berkumandang ketika direnjis dengan air oleh pakcik Bob ketika kejadian itu. Begitu juga dengan pemancing lain, bagi mereka tiada kejadian aneh dan buruk yang berlaku pada ketika itu melainkan kejadian seorang pemuda mati akibat serangan jantung di atas bot sebelum itu.

Mereka semua tidak tahu bahawa aku baru sahaja mengalami episod yang ngeri apabila hampir menjadi mangsa bunuh hantu laut. Pakcik Bob mula membuka rahsia apabila mengatakan bahawa dia sebenarnya sudah perasan dengan kemunculan hantu-hantu laut tersebut ketika berada di jeti lagi.

Mereka menempel di bawah bot dan ketika sauh dilabuhkan terdapat 4 ekor hantu laut sudah berada di atas tong ikan di belakang bot itu. Pada mulanya dia telah menghalau mereka semua dan mereka sudah lari meninggalkan bot itu ketika itu tetapi berkemungkinan muncul semula akibat terhidu bau jenazah pemuda tersebut.

Dia kemudiaannya terdengar seperti bunyi ketukan yang kuat dan dia berjalan menuju ke belakang bot kemudiannya ternampak aku sedang menjerit-jerit ke arah hantu laut itu. Dia pergi ke bahagian dapur, mengambil semangkuk air kosong lalu dibacakan dengan doa Nabi Sulaiman, Nabi Yunus, dan ayat 1,000 Dinar sebanyak 9 kali.

Selesai pembacaan dia terus datang dan merenjis-renjis air itu ke badan hantu-hantu laut tersebut. Dalam masa yang sama dia telah menyeru nama naga miliknya itu untuk bantuan tambahan. Naga tersebut adalah warisan turun temurun daripada keluarganya dahulu (Saka Naga) dan sekiranya keadaan betul-betul terdesak barulah dia akan memanggil naga tersebut datang.

Apabila dijelaskan tentang naga itu barulah mindaku sedikit terbuka dan barulah aku percaya bahawa naga itu bukanlah kisah dongeng semata-mata tetapi ia benar-benar wujud di alam ghaib. Naga itu berasal dari Yemen dan ia sudah beratus tahun berkhidmat untuk keturunan keluarganya.

Dia mewarisi naga tersebut daripada arwah ayahnya. Naga tersebut adalah naga air dan sekiranya diseru ia mampu muncul di mana-mana sahaja di pelosok bumi ini dalam sekelip mata. Pakcik Bob merupakan orang lama di dalam bidang alam ghaib ini dan dia tidak dilapisi hijab semenjak dari kecil lagi. Boleh dikatakan majoriti ahli keluarganya memiliki anugerah yang sama sepertinya termasuklah anak-anak dan cucunya sendiri.

KEPULANGAN YANG ABADI

Kami semua selamat tiba di jeti Merang pada jam 6 pagi dan jenazah tersebut terus dihantar ke hospital Besut untuk proses pengurusan jenazah dan post mortem. Kejadian yang berlaku pada malam tersebut tidak aku ceritakan pada Azmir dan Wawa kerana biarlah ia menjadi rahsia di antara aku, pakcik Bob, dan naga tersebut.

Walaupun perancangan kami bertiga untuk bergembira di tengah lautan Pulau Redang terbantut tetapi kami redha kerana perancangan Allah lebih hebat daripada perancangan makhluknya.

Kami bertiga banyak bermuhasabah diri sepanjang perjalanan kami pulang ke Kuala Lumpur. Semoga roh allahyarham Che Mohd Yusnaidi Bin Che Shaari ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan sentiasa di bawah rahmat Allah SWT. Al-Fatihah. Pakcik Bob masih lagi aku temui dan kami pernah beberapa kali diganggu dan melalui pengalaman yang lagi seram dan dasyat sebelum ini. Itu akan aku ceritakan di edisi yang lain nanti.

Sumber: FS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here