KECOH di media sosial mengenai seorang jutawan kosmetik membuat ulasan makanan, dianggap menggunakan bahasa kurang sopan sehingga mengundang kemarahan netizen di media sosial.

Berkongsi mengenai insiden itu menerusi bebenang di laman Twitter, anak pemilik restoran berkenaan, Muhammad Faris Khairul Anuar, menyatakan rasa kesalnya terhadap sikap seorang pemuda yang bergelar doktor, yang dilihat seolah-olah cuba menutup periuk nasi keluarganya.

Menurut pemuda berusia 20 tahun itu, dia menghormati hak setiap individu untuk mengkritik malah menerimanya secara terbuka namun bukan dengan cara maki hamun yang disifatkan untuk menjatuhkan perniagaan bapanya itu yang terletak di Melaka.

“Masa dia datang kedai saya tiada apa-apa yang berlaku. Dia juga tak mengadu langsung pasal makanan. Hidangan juga habis licin mereka makan! Saya ingatkan semuanya OK. Tak sangka pula lepas lima minit dia tinggalkan restoran, dia terus buat status macam tu, siap tag nama restoren.

“Ayah saya bukan orang senang. Kami nak naikkan kedai ni sangatlah susah dengan ekonomi sekarang. Semua orang cari makan. Tapi tak perlu nak jatuhkan rezeki orang. Komplen pasal makanan adalah perkara biasa yang diterima peniaga restoran. Jika ada apa-apa yang tidak kena, dia sepatutnya memaklumkan kepada kami. Kami terima dengan hati terbuka.

Rata-rata netizen memberikan reaksi negatif terhadap sikap jutawan kosmetik itu sambil menyifatkan ia sebagai biadab.

Menurut Fais, dia turut berasa kecewa dengan insiden yang berlaku kerana ketika itu dia dan keluarga sedang meraikan sambutan ulang tahun kelahiran bapanya yang ke-52. “Lebih menyedihkan ia berlaku ketika sambutan jari jadi ayah. Semasa kami sedang meraikannya, tiba-tiba saya nampak notifikasi dekat Facebook. Ayah dapat tahu je pasal status tu, ayah terus tersentak.

“Dia beritahu kat anak anak dia, mungkin ini hadiah hari jadi dia. Dia minta maaf sebab sampai jadi macam ni, anak-anak terkena tempias. Nak menitis air mata saya ketika itu,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.

Tambah Faris lagi, menyedari dirinya menjadi tular, jutawan kosmetik itu bertindak memadam gambar dan beberapa komen selain menukar mod Facebook kepada ‘private’.

“Bagi saya dia sangat tidak matang. Dengan umur dan gelaran ‘doktor’, sepatutnya dia beri kritikan yang memberi inspirasi.

“Bila kami balas komen dekat status dia tu, dia boleh kaitkan mak ayah, padahal cara kami balas tu tak nampak macam na bergaduh pun. Tapi cara dia balas balik komen tu seperti kebudak-budakan.

Selain itu, Faris turut meminta individu yang mendakwa mereka sekeluarga mengalami keracunan makanan untuk tampil membuat laporan agar pihak berkuasa kesihatan dapat melakukan siasatan.

“Baru-baru ini ada fake account yang komen, cakap mereka sekeluarga masuk hospital sebab keracunan makanan lepas makan dekat restoran kami.

“Kalau betul keracunan makanan, dah lama pegawai kesihatan datang periksa. Saya minta individu tersebut tampil dan segera buat laporan,” ujarnya.

Faris turut menuntut jutawan kosmetik itu melakukan permohonan maaf secara terbuka demi membersihkan semula nama restoran mereka yang terjejas akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu.

“Kami tak minta lebih, cukup sekadar dia buat permohonan maaf secara terbuka kepada ibu bapa saya dan bersihkan semula nama kedai kami. Itu sudah memadai,” katanya. -Mstar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here