Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) memilih jalan yang sukar untuk beraksi dalam pusingan akhir kejohanan AFC B-23 tahun depan apabila terikat 2-2 dengan China dalam aksi terakhir kumpulan J kempen kelayakan di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Keputusan tersebut juga bermakna slot kedudukan tempat kedua terbaik masih belum menjadi milik negara kerana perlu mengharapkan keajaiban daripada keputusan perlawanan lain kerana hanya 4 atau 5 slot yang ditawarkan.

Separuh masa pertama

Dalam perlawanan ini, Ong Kim Swee kembali menggunakan barisan yang sama ketika menentang Filipina pada perlawanan pertama tanpa khidmat Daniel Amier yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.

Tempat Amier digantikan dengan Danial Haqim berganding dengan Nik Akif Syahiran. Hadi Fayyadh yang disisihkan ketika perlawanan bertemu Laos kelmarin kembali memperkuatkan jentera serangan skuad negara.

Perlawanan bermula dengan rentak yang tinggi. China terlebih dahulu mengaturkan serangan dan melakukan percubaan pertama pada minit ke 2 namun tersasar.

Tersentak dengan percubaan itu, Malaysia kembali menguji benteng pertahanan China melalui gerakan serangan balas daripada dua pemain sayap, Akhyar dan Safawi Rasid. Pengadil menghadiahkan sepakan percuma setelah Hadi Fayyadh dijatuhkan namun peluang itu gagal disudahkan dengan baik pada minit ke 8.

Dua minit kemudian, Stadium Shah Alam bergema dengan sorakan lebih 10,000 penyokong yang hadir apabila Malaysia memperoleh gol pertama hasil jaringan sendiri daripada pemain pertahanan lawan.

Gol tersebut berpunca daripada gerakan Syahmi Safari yang cuba membuat hantaran kepada Hadi Fayyadh namun pemain lawan tertampan ke gawang sendiri. Jaringan itu memberi sedikit kelegaan kepada skuad Malaysia yang terdesak untuk memburu kemenangan.

Namun begitu, keputusan 1-0 tersebut hanya bertahan selama lima minit apabila China berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Zhang Yuning yang sebelum itu sempat menguji kekebalan gawang gol negara yang dikawal oleh Haziq Naqli.

Bagaimanapun, skuad negara tidak putus asa dan kembali mengaturkan serangan untuk memburu jaringan kedua sehingga menyebabkan benteng pertahanan China tidak senang duduk. Kem negara agak cemas apabila Akhyar Rasid dan Dominic Tan mengadu rasa sakit tetapi mampu meneruskan perlawanan.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke 30 melalui rembatan kaki kanan pemain pertahanan kiri, Dinesh namun ia sedikit tersasar. Selepas itu, kedua-dua pasukan dilihat bermain dengan berhati-hati dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel pemulaan separuh masa kedua, skuad Malaysia tanpa membuang masa terus melancarkan asakan ke arah kubu China. Ketika ini keyakinan pemain Malaysia  sangat tinggi ditambah pula dengan sorakan padu Ultras Malaya yang membangkitkan semangat anak buah Ong Kim Swee.

Pada minit ke 51, Safawi Rasid hampir menghadiahkan gol kedua untuk negara namun rembatannya agak lemah dan tersasar. 3 minit kemudian, Stadium Shah Alam kembali bergegar bagaikan gempa bumi apabila Danial Haqim memanfaatkan peluang dengan menjaringkan gol kedua untuk Malaysia hasil daripada sepakan percuma.

Keputusan 2-1 tersebut telah membangkitkan lagi semangat Ultras Malaya untuk terus memberikan sorakan padu dan suasana perlawanan menjadi semakin riuh.

Terkejut dengan jaringan Malaysia itu, China kemudiannya bangkit melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu negara tetapi malangnya mereka beberapa kali dinafikan oleh kecemerlangan benteng pertahanan negara yang diketuai oleh Syamer Kutty.

15 minit telah berlalu, China terus melakukan asakan demi asakan dan kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila China menggunakan kelebihan fizikal yang tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke 83.

Gol kedua China juga berpunca daripada kegagalan Ong Kim Swee melakukan sebarang pertukaran pemain sehingga minit 87 sehingga mengundang padah kerana benteng pertahanan negara kelihatan tidak bermaya dan kepenatan.

Malaysia cuba bangkit mencari gol ketiga untuk memastikan tiket beraksi di pusingan akhir kejohanan AFC B-23 di Thailand tahun depan berada dalam genggaman tetapi segala-galanya sudah terlambat dan semua pemain sudah keletihan.

Keputusan 2-2 ini bermakna Malaysia menamatkan saingan kelayakan AFC B-23 sebagai naib juara kumpulan J dengan 7 mata di belakang China yang telah layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan AFC B-23 selaku juara kumpulan J.

Peluang Malaysia ketika artikel ini ditulis masih ada bergantung kepada keputusan perlawanan lain untuk mendapatkan slot melalui kedudukan tempat kedua terbaik.

Sumber: SemuanyaBola.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here