Isu ini tak pernah nak habis rasanya. Ada sahaja cerita yang terjadi.

Kira-kira 500 pemandu teksi di seluruh negeri ini berhimpun secara aman di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini, semalam.

Pemangku Presiden Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar (Gapet) Johor Bahru, Abdul Rahman Arif berkata, himpunan itu bagi menuntut keadilan kepada semua pemandu teksi.

Dakwanya, pemandu teksi di seluruh negara termasuklah Johor telah dirompak mata pencarian oleh perkhidmatan e-hailing, Grab.

“Grab tidak ada undang-undang dikenakan ke atas mereka. Mereka tidak ada lesen PSV, kad pemandu, insurans, permit dan SSM. Jadi macam mana boleh diluluskan?

“Kami pula dikenakan beberapa undang-undang. Mohon permit, ambil lesen PSV, disahkan sihat, daftar SSM, kad pemandu dan pemeriksaan Puspakom,” katanya ketika perhimpunan berkenaan.

Abdul Rahman berkata, pemandu teksi juga diminta mengenakan caj tambang berdasarkan meter yang ditetapkan kerajaan.

“Kita patuh dan ikut apa yang telah kerajaan tetapkan tetapi bagaimana pula dengan Grab? Tidak ada satu benda pun yang dikenakan ke atas mereka macam teksi.

“Jadi, macam mana boleh diluluskan untuk membawa penumpang? Nak dijadikan kenderaan perdagangan sama seperti teksi,” katanya.

Beliau berkata, himpunan tersebut yang turut berlangsung serentak di seluruh negara juga menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Grab yang beroperasi sewenang-wenangnya.

“Hari ini, kita minta kerajaan negeri buka mata dengan apa yang telah terjadi kepada pemandu teksi sekarang ini. Kami ditindas, kami dihina dan macam-macam perkataan.

“Inilah niat murni kami yang inginkan keadilan. Keadilan diberikan kepada kami, kita tak mahu lagi ditindas dan dihina. Hari ini, kita tunjuk kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Malaysia.

Selain berhimpun, pemandu teksi turut menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada wakil Menteri Besar Johor.

Sumber – sinar harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here