1. Bhangarh Fort, India

Bhangarh Fort yang terletak di Rajasthan, India mendapat jolokan sebagai tempat paling seram di negara itu.

Terdapat beberapa kisah menyelubungi Bhangarh dan penududuknya sejak ratusan tahun dahulu termasuk cinta ahli sihir terhadap seorang puteri yang ditolak menyebabkan seluruh masyarakat di situ terkena ilmu hitam.

Turut dikatakan, istana yang terletak di atas bukit tempat tinggal puteri itu juga menjadi tempat pembunuhan yang menyebabkan ia ‘keras’ dan tiada siapa berani mendekatinya sehingga kini.

Malah pernah dilaporkan terdapat beberapa kejadian pengunjung tempat itu cedera atau mati ketika cuba memasuki istana terbiar itu tanpa diketahui punca sebenar.

Masyarakat tempatan percaya tempat itu mempunyai pelbagai roh jahat yang tidak tenang namun misterinya turut kekal di dalam istana mewah itu sehingga ke hari ini.

2. Tat Tak School, Hong Kong

Kisah seram Tat Tak School yang terletak di Hong Kong bermula pada 1998 apabila pengetua sekolah itu didakwa membunuh diri dalam tandas wanita selepas tempat itu dihentikan operasinya.

Tapak sekolah itu yang dibina sekitar 1930-an juga dikatakan lokasi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Inggeris ketika Hong Kong dijajah British pada 1941 menyebabkan ia sering dikaitkan dengan pelbagai kisah misteri.

Kubur mangsa kekejaman penjajah itu masih wujud sehingga ke hari ini yang terletak bersebelahan sekolah tersebut.

Malah pada 2001, sekumpulan pelajar yang cuba memasuki sekolah itu untuk membuat kajian dilaporkan mengalami histeria dan ada peserta wanita yang cuba menggantung diri di tempat sama bekas pengetua mengambil nyawanya.

Tat Tak School juga menjadi lokasi popular kepada mereka yang cuba membunuh diri walaupun larangan untuk tidak memasuki kawasan itu dikeluarkan.

3. Pantai Changi, Singapura

Siapa sangka pemandangan indah dan laut membiru di Pantai Changi, Singapura sebenarnya tersembunyi seribu satu kisah menyeramkan!

Ramai pengunjung yang tidak mengetahui kisah di sebalik pulau itu mendakwa sering ternampak susuk tubuh tidak berkepala berjalan di persisiran pantai pada waktu tengah malam menyebabkan mereka lari lintang pukang.

Bukan itu sahaja, ada pengunjung pernah mendakwa ternampak kelibat lelaki memakai baju tentera berlegar-legar di kawasan pantai selain terdengar tangisan dan jeritan pada tengah malam.

Diceritakan kelibat tubuh tidak berkepala itu sebenarnya  mangsa pembunuhan kejam oleh tentera Jepun ketika menawan Singapura sekitar tahun 1940-an.

Di pulau itulah mangsa dikumpulkan sebelum kepala mereka dipancung oleh tentera Jepun akibat pelbagai kesalahan.

Malah selepas peperangan berakhir, di lokasi sama juga tentera Jepun yang ditangkap dihukum bunuh.

4. Hospital Psikiatri Gonjiam, Korea Selatan

Hospital Psikiatri Gonjiam, Korea Selatan ini ditutup sejak 1995 selepas berlaku beberapa kematian pesakitnya yang dipercayai berkaitan dengan unsur-unsur mistik di tempat itu.

Peliknya, penyelidikan dan siasatan selama bertahun-tahun oleh pihak berkuasa juga tidak berjaya menemukan mereka dengan punca dan sebab kematian pesakit tersebut.

Misteri itu tidak terhenti di situ apabila penduduk sekitar mendakwa sering terlihat kelibat manusia di perkarangan hospital itu seolah-olah tempat itu masih wujud walaupun sudah dipenuhi lalang.

Suara aneh dan jeritan orang meminta tolong sering didengari oleh penduduk setempat membuatkan mereka bingung tentang rahsia sebenar yang tersembunyi di hospital itu sebelum ini.

Kejadian aneh itu juga sebenarnya tidak membuatkan masyarakat berasa takut sebaliknya ramai yang memasuki hospital itu untuk mencari kisah di sebaliknya.

Ramai mendakwa keadaan dalam hospital itu memang menyeramkan selain memberitahu wad-wad masih mempunyai kelengkapan seperti katil dan peralatan perubatan seolah-olah ada penghuni tinggal di dalam hospital itu.

5. Hutan Aokigahara, Jepun

Hutan Aokigahara yang terletak di Jepun disebut sebagai antara tempat menyeramkan di negara matahari terbit itu kerana ia lokasi popular untuk membunuh diri!

Sehingga kini dianggarkan lebih 500 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di hutan itu malah masih terdapat kereta ditinggalkan diluar hutan, barangan peribadi serta tali menggantung diri dalam hutan tersebut.

Sejarah hutan itu sendiri agak menyeramkan kerana dianggap sebagai tempat tinggal ‘yurei’ iaitu sejumlah hantu dalam mitologi Jepun.

Terdapat kejadian ada individu yang masuk ke hutan itu untuk tujuan suka-suka tidak menemui jalan keluar selain ada kes mereka hilang begitu sahaja.

Seperti tempat-tempat seram lain di dunia, bunyi orang menjerit menyeramkan sering didengar waktu malam.

Malah sebuah filem mengenai hutan itu pernah dihasilkan pada 2016 berjudul The Forest yang dibintangi oleh Natalie Dormer.





LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here